Friday, September 18

Teruskan Perjuangan !

Alhamdulillah di atas rahmat-Nya mengizinkan nyawa-nyawa kita berterusan hingga ke penghujung Ramadhan. Selawat serta salam buat insan yang amat mencintai Ramadhan ketika hayatnya. Dialah Muhammad Rasulullah saw dirindui.

Teruskan perjuangan ! Perjuangan menentang syaitan dan (kejahatan) hawa nafsu bukan setakat di bulan Ramadhan. Bahkan, ujiannya bertimbun-timbun menanti umat manusia seiring dengan pemergian bulan yang diberkati ini, bulan yang dirindui oleh mukmin sejati (kitakah itu ?).

Meniti hari-hari di bumi Allah, sedarkah kita, teringatkah kita akan saat yang bakal ditempuhi ? Jangan kelam dibayangi dunia. Matlamat kita bukan sesingkat hayat dunia. Matlamat kita seharusnya berada di 'sana', di alam yang kekal abadi. Bersediakah untung dihitung dosa dan pahala ? Bersediakah berhadapan dengan Allah di mahkamah Qadhi Rabbul Jalil ? Gembirakah atau meratap pilu tatkala berada di alam sana ?

Persoalan-persoalan yang seharusnya ditanya dan dijawab dengan hati yang ikhlas. Kerana apa ? Kerana itulah ketentuan Tuhan kita. Hamba-hamba yang diberkati-Nya akan menjadi tetamu yang dimuliakan di akhirat kelak. Sementara itu, hamba-hamba yang derhaka dan ingkar, bakal menghadapi hari-hari sukar di Padang Mahsyar.

Tolong sayangi diri mu, tolong sayangi keluarga mu ! Hidup ini amat singkat. Dulu, kita di buaian. Kini, kita melangkah sejauh mampunya kaki bergerak. Nanti, kita akan lemah diasak usia tua. Kemudian, hilanglah hari-hari kita di dunia ini. Terbuka hijab untuk seorang hamba serta berkenalan dengan alam ghaib secara jelas. Mampukah mengubah nasib di saat itu jika selama ini hanya lalai dan lagha menemani jalan hidup ? Gembira di dunia, gembirakah jua di akhirat ?

Hidup ini amat singkat.. Oleh itu, hiduplah mengikut kehendak-Nya agar gembira di dunia berterusan kepada kegembiraan di alam sana.

Justeru itu, aku memohon maaf dengan sebenarnya atas salah silap ku terhadap sahabat-sahabat ku (sengaja atau tidak). Moga api amarah dan dendam antara kita semua dipadamkan di hujung Ramadhan ini. Moga kita terlepas dari menjadi hamba yang tak diampunkan dosanya tatkala Ramadhan menebarkan sayap rahmat dan ampunan dari Allah.

# sekian, taqabbalallahu minna wa minkum. moga sahabat-sahabat ku dan diri ini termasuk di kalangan hamba-Nya yang diampunkan (termasuk ibu bapa umat Islam dan pejuang kita di bumi Palestin). moga saat-saat selepas ini diisi dengan teguhnya pegangan pada tali Allah, bukan lemah diheret dan ditunggang syaitan ('aduwwum mubin) !

0 Comments:

 

Followers

Fortified Fraternity Copyright © 2009