APAKAH 10 ‘K’ YANG DIMAKSUDKAN?
(1) KECINTAAN. Ianya merupakan elemen yang paling penting dalam persahabatan. Sebuah persahabatan akan mudah rapuh tanpa adanya kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada Si Pemilik cinta itu sendiri. Sebab itu kadang2 kita perlu meluahkan rasa cinta kita terhadap sahabat kita dgn mengungkap, "uhibbuka/i fillah" (bagi sahabat2 yang sama jantina sahaja) agar dia tahu betapa kita mencintainya, kerana Allah (inshaAllah).
(2) KASIH SAYANG. Ini lebih kurang sama sahaja maksudnya dgn kecintaan. Setelah wujud rasa cinta terhadap sahabat kita, maka kita perlulah mencurahkan kasih sayang kita terhadap sahabat kita itu. Namun harus diingat, kasih sayang tidak semestinya perlu dipamerkan secara luaran. Adakalanya, hanya dengan mendoakan sahabat-sahabat kita, InshaAllah, sudah memadai untuk membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka.
(3) KEIKHLASAN. Bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat Illahi, sesebuah persahabatan itu haruslah beserta dengan rasa ikhlas. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Justeru itu bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya.
(4) KESETIAAN. Tidak dapat dinafikan, kesetiaan terhadap sahabat mampu mengukuhkan lagi persahabatan yang terjalin biarpun jarang bertemu. Setia terhadap sahabat bermaksud sentiasa ada bersama sahabat di waktu susah mahupun senang, memberikan nasihat serta sokongan di saat dia memerlukan kita. Sekiranya berjauhan, kita boleh tunjukkan kesetiaan kita terhadap sahabat dgn sentiasa menghubunginya bertanyakan khabar serta perkembangannya. Apabila kita setia terhadap sahabat-sahabat kita, maka kita akan diingati oleh mereka sehingga akhir hayat mereka.
(5) KEBERANIAN. Apa yang dimaksudkan di sini ialah bersikap berani dalam berkata hal yang benar. Dalam persahabatan, kita hendaklah bersikap berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya, maka kita hendaklah berani mengaku kepadanya akan kesilapan yang telah kita dilakukan. Selain itu, kita juga harus bersikap berani dalam menasihati sahabat kita, kerana sebagai sahabat, kita pastinya mahukan yang terbaik untuk sahabat kita.
(6) KEJUJURAN. Ini amatlah penting dalam sesebuah persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kita, terutamanya dalam hal-hal yang juga ada kaitannya dengan sahabat kita itu. Biarpun pahit, bersikaplah jujur sepenuhnya kerana “sepandai2 tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua”. Pembohongan itu pastinya akan terbongkar jua akhirnya. Dan pastinya ia sedikit sebanyak memberi kesan buruk kepada persahabatan yang sedia terjalin. Ada kemungkinannya juga, sahabat kita itu menjadi kurang (mungkin juga langsung hilang) kepercayaannya kepada kita. Begitu juga kita tidak perlulah menyembunyikan apa-apa dari sahabat kita. Janganlah berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan.
(7) KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan sebarang kesilapan, bersedialah untuk memaafkannya, tidak kira sebesar manapun kesalahannya terhadap kita, kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Jika sebaliknya kita yang melakukan kesalahan, maka janganlah kita malu dan teragak-agak untuk meminta maaf daripadanya, kerana orang yang terlebih dahulu meminta maaf adalah orang yang hebat.
(8) KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka ikutlah sedih bersamanya. Pinjamkanlah telinga kita untuk mendengar setiap luahannya, dan tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tempat tadahan air matanya. Bersedihlah bersamanya, namun dalam masa yang sama berilah kekuatan kepadanya. Kerana insan yang dicarinya bukanlah orang lain, melainkan kita sahabatnya.
(9) KEGEMBIRAAN. Begitu juga dengan kegembiraan. Jika kita gembira, maka marilah berkongsi kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak mahukah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak mahukah kita melihat ukiran-ukiran senyuman indah di raut wajah mereka? Kegembiraan kita, kegembiraan mereka jua.
(10) KESERASIAN. Apa yang dimaksudkan dengan “keserasian” di sini bukanlah dari segi paras rupa mahupun harta benda. Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza, namun keserasian antara dua pihak dalam bersahabat dapat diwujudkan apabila adanya persefahaman antara mereka. Dengan adanya persefahaman, ianya akan membantu mengeratkan lagi hubungan kita dengan sahabat kita, sekaligus dapat mengelakkan berlakunya pergaduhan disebabkan salah faham.
Demikianlah 10 ‘K’ yang dapat saya kongsikan bersama di sini mengenai persahabatan. Sekarang cuba kita renungkan kembali, adakah kita dan sahabat kita mengamalkan 10 ‘K’ ini? Diharap dengan perkongsian ini, selepas ini dapatlah sama-sama kita cuba amalkan kesemua nilai-nilai murni ini dalam mengeratkan lagi jalinan ukhuwwah kita bersama sahabat-sahabat kita. Semoga ikatan persahabatan yang terjalin antara kita dan sahabat-sahabat kita sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT... Aamiiin...
P.S. entri ini di 'copy-paste' dari http://www.kongsibersama07.blogspot.com/
0 Comments:
Post a Comment