Alhamdulillah atas segala nikmat dan rahmat-Nya. Kita bersyukur kerana dipilih untuk menjadi seorang muslim, bukannya lahir dalam keluarga yang bukan Islam. Selawat serta salam buat kapten terbaik umat Islam, Rasulullah saw yang berjaya membawa obor kemenangan, menewaskan sekian ramainya musuh yang cuba menentang hukum Allah swt.
Sedikit demi sedikit... Usahakanlah perubahan dalam diri. Usahakanlah untuk lebih mengenali dan lebih takut serta lebih kagum akan Allah swt.
Kita datang dari latarbelakang yang berbeza. Ada yang dididik dari kecil mengikut tarbiah Islam. Ada yang lahir dari keluarga yang melihat Islam sebagai hanya sebahagian dari kehidupan. Sebagai contoh, melihat perlunya menutup aurat semasa solat, namun tidak upaya menjaga aurat tatkala berada di tempat-tempat lain. Ada juga insan yang dilahirkan dalam keluarga yang melalaikan ajaran Islam. Bahkan, di sana ada juga yang dilahirkan di dalam keluarga yang bukan Islam.
Tidak kiralah dari mana asalnya kita, yang penting sekarang kita perlu sedar bahawa kita hanya seorang hamba dan penumpang di bumi Allah swt. Singgah seketika di dunia sebelum menempuh hidup yang berterusan di akhirat.
"..., sesungguhnya telah jelas (perbedaan) antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat." (Surah Al-Baqarah, 2: ayat 256).
Kita ditawarkan dua pilihan. Berakhir di syurga atau neraka. Jalannya pun sudah jelas, terang lagi bersuluh. Jalan kebenaran sudah dikenali, jalan kebatilan juga sudah diketahui. Tinggal lagi untuk kita memilih yang mana satu antara dua jalan tersebut.
Sekarang, aku menyeru diri ku, sahabat-sahabat ku dan insan lain agar cuba berubah sedikit demi sedikit. Cuba kembali kepada ketamadunan ilmu. Cuba menambah ilmu agar amalan dan tingkah laku kita makin yakin dan ada kebenaran padanya. Berapa lama kita diberi peluang untuk berada di sini (dunia yang sementara)?
Mahu menunggu usia lanjut baru mahu berubah... jangan begitu kerana ajal boleh menjemput mu bila-bila masa sahaja.
Sedikit petikan dari Al-Qur'an:
"Maka celakalah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. Orang-orang yang bermain-main dalam kebatilan (perbuatan dosa)" (Surah At-Tur, 52: ayat 11-12).
"Sungguh, orang-orang yang berdosa berada dalam kesesatan (di dunia) dan akan berada dalam neraka (di akhirat). Pada hari mereka diseret ke neraka pada wajahnya. (Dikatakan kepada mereka), rasakanlah sentuhan api neraka." (Surah Al-Qamar, 54: ayat 47-48).
"Sesungguhnya orang-orang yang berbakti benar-benar berada dalam (syurga yang penuh) kenikmatan." (Surah Al-Mutoffifin, 83: ayat 22).
# Peringatan untuk diri sendiri dan juga untuk semua. Ruang dan peluang masih ada. Kudrat usia muda masih gagah, usah menanti hari tua baru mahu berubah takut-takut tak sempat tua sudah dijemput atau diheret pulang. Sekian.
The bird's tale...
1 year ago
0 Comments:
Post a Comment