Telah menjadi sunnatullah, setiap yang bernyawa pasti akan mati. Pasti dan pasti. Dan begitulah pula setiap yang berlaku pada kita di atas muka bumi ini pasti akan ada hikmahnya, tinggal lagi kita yang mampu atau tidak mampu menilai apa hikmah tersebut dengan akal pendek kita.
Virus influenza A H1N1 kini sudah mampu melumpuhkan aktiviti manusia hampir di seluruh dunia. Di Malaysia contohnya, sejak berlakunya penularan kes H1N1 secara besar-besaran, semakin banyak sekolah dan IPT yang ditutup. Orang ramai dalam kebimbangan, jumlah kematian makin meningkat dan para doktor dan saintis masih belum menemui ubat atau vaksin yang ‘mujarab’ untuk melawan serangan virus ini.
Ketika awal-awal kemunculan virus ni dulu, kita di sini masih boleh merasa selamat kerana kebanyakan kes melibatkan negara-negara luar yang jauh dari kita seperti Amerika Syarikat dan Australia. Kemudian, ada kes-kes import dilaporkan di negara kita melibatkan individu-individu yang baru pulang dari luar negara. Tidak lama selepas itu, berlaku pula kes-kes jangkitan tempatan yang semakin hari semakin meningkat, tetapi masih terkawal dan tidak mencatatkan sebarang kes kematian. Tetapi hari ini, kita tidak mampu lagi untuk merasa selamat daripada serangan virus yang semakin menggila ini. Setakat hari ini, 38 kematian telah dicatatkan, dan mungkin sebentar lagi, sebelum sempat entri ini habis ditulis, akan ada korban terbaru kes H1N1 ini.
Renungkan, manusia yang diciptakan dengan sebaik-baik penciptaan kerana dikurniakan akal ini akhirnya boleh ditewaskan oleh makhluk Allah yang paling halus dan seni. Tidakkah itu menjadi satu pengajaran berguna bagi kita, bahawa kita tak perlu sombong dan berbangga dengan ilmu dan kepandaian yang dimiliki kerana semua itu terbatas dan sangat sedikit berbanding ilmu Allah? Dan bahawa kita tidak layak untuk berani melawan Allah dengan melakukan maksiat kerana akhirnya kita akan kembali merintih kepadaNya memohon doa? Dan yang lebih utama, kerana kita semua pasti akan dikembalikan kepadaNya.
Adakah sejarah lama Tanah Melayu pada zaman datuk dan nenek kita dahulu yang dilanda wabak taun sehingga hampir diisytiharkan darurat akan berulang? Sama-samalah kita memohon perlindungan daripada Allah agar kita terselamat daripada bala H1N1 dan memohon kekuatan untuk terus sabar menghadapi ujianNya. Adakah kita mahu tunggu diri sendiri dan keluarga terdekat terkena dahulu baru kita nak berdoa dan solat hajat?
Akhirnya kepada semua, jagalah kebersihan diri sendiri. Praktikkan ajaran Islam yang sangat basic yang menyuruh kita supaya sentiasa dalam keadaan bersih. Ingatlah, mencegah itu lebih baik daripada merawat!
~Wallahu a’lam~
0 Comments:
Post a Comment