Sunday, August 23

Keajaiban Solat Subuh

Penulis: Dr Raghib Al-Sirjani
Tajuk: Keajaiban Solat Subuh
Muka surat: 161
Penerbit: Al-Hidayah
Harga: RM 10.00

Isu: Penulis memulakan penceritaan dengan kisah satu watak yang gah bercerita tentang pembangunan Islam, tentang tertegaknya Islam dan lain-lain isu yang meliputi kepentingan umat Islam. Namun, watak tersebut ternyata tewas tatkala menyahut seruan azan Subuh. Sesuatu yang amat memalukan bagi mereka yang petah berkata-kata akan kebangkitan Islam sedangkan cuai menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid seawal waktu Subuh yang telah ditetapkan.

Buku tersebut menitikberatkan betapa pentingnya solat subuh berjemaah (bagi lelaki). Diceritakan juga kelebihan waktu subuh yang diberkati bagi memotivasikan pembaca untuk bangun pada waktu tersebut yang sememangnya sinonim dengan tidur (bagi kebanyakan orang).

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

"Sekiranya manusia mengetahui apa yang tersembunyi dalam azan dan saf pertama, maka mereka tidak akan mendapatkan bahagian kecuali dengan cara diundi di dalamnya, nescaya mereka akan ikut serta dalam undian (banyaknya yang berbondong-bondong bagi mendapatkan saf pertama). Dan jika mereka mengetahui apa yang didapatkan dalam awal kedatangan (solat jemaah), nescaya akan berlumba-lumba. Dan jika mereka mengetahui apa yang tersimpan di dalam solat Subuh dan Isyak maka akan mendatangi walau dengan cara merangkak".

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Juga diceritakan bahawa waktu solat Subuh adalah waktu yang disaksikan oleh para malaikat penjaga malam. Rasulullah saw bersabda:

"Kemudian naiklah para malaikat yang menyertai kamu pada malam harinya, lalu Tuhan mereka bertanya kepada mereka padahal Dia lebih mengetahui keadaan mereka: "Bagaimanakah hamba-hamba Ku ketika kalian tinggalkan?" Mereka menjawab: "Kami tinggalkan mereka dalam keadaan solat dan kami datangi mereka dalam keadaan solat".

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Justeru, beruntungnya insan-insan yang mampu memenuhi saf solat Subuh di masjid. dan ternyata ruginya mereka yang lena dibuai mimpi tatkala waktu yang berkat itu menjelma.

Penulis turut mengaitkan keberkatan waktu Subuh dengan kejayaan-kejayaan tentera Islam. Kebanyakan peperangan tentera Islam terdahulu dimulakan selepas berlalunya waktu Subuh, pelantikan Saidina Umar sebagai khalifah kedua juga berlaku selepas solat Subuh di dalam masjid. Alangkah beruntungnya insan-insan yang mampu turut serta solat Subuh berjemaah di masjid.

# sekadar peringatan buat diri ku sendiri dan peringatan bagi mereka yang mahu berfikir.
# bagi kaum perempuan, peri penting solat Subuh pada awal waktu turut ditekankan oleh penulis.
# bersama-sama kita bangkit ! umat takkan mampu menjadi yang terbaik selagi masjid dibiarkan lesu dan hanya dipenuhi kudrat warga tua. pemuda-pemuda Islam, bangkitlah.

1 Comments:

Cahaya Kasih said...

Secara peribadi, turut mengesyorkan kepada semua supaya membaca buku yang bermanfaat ini.

Ketika pertama kali membaca buku ini beberapa bulan yang lepas, butir-butir isi yang diketengahkan oleh Dr. Raghib al-Sirjani cukup menginsafkan diri.

Benarlah kata beliau, solat Subuh itu adalah satu ujian, ujian tahap keimanan dan keteguhan hati.

Solatnya ringkas, mudah, hanya dua rakaat, hanya memerlukan beberapa minit. Tapi, bukan semua orang mampu mengharungi ujian itu dengan jayanya.

Alhamdulillah...
Dengan kedatangan Ramadhan kini, ramai yang datang memenuhkan masjid dan surau tika waktu Subuh. Sebelum ini, untuk mendapatkan satu saf yang penuh, amatlah payah. Hatta kalau datang ketika imam di tahiyyat akhir, masih sempat untuk berpeluang untuk berada di saf paling hadapan. Tetapi sekarang, terpaksa berebut-rebut untuk mengambil peluang berada di saf pertama. Semoga keadaan ini berkekalan.

Semoga Ramadahan kali ini menjadi satu medium tarbiyyah untuk semua.

CK: Masih lagi terkapai-kapai mencari keredhaan-Nya.

 

Followers

Fortified Fraternity Copyright © 2009