Alhamdulillah kerana Dia Maha Memberi Petunjuk buat hamba-hamba-Nya. Selawat serta salam buat Rasulullah saw yang telah berjaya mendidik para sahabat dengan gemilangnya.
Tajuk karya: Pertelingkahan Para Sahabat Nabi SAW (antara ketulenan fakta dan pembohongan sejarah)
Penulis: Dr. Asri Zainul Abidin
Isu: Kebanyakan kisah sejarah silam Islam diambil dari karya ilmuan Islam yang bernama Imam At-Tabari. Dalam karya beliau, Tarikh At-Tabari telah dijelaskan pada bahagian pendahuluan bahawa karya tersebut mengambil riwayat dari semua jenis perawi tak kira lah yang diyakini kebenarannya atau yang harus dikaji balik kebenaran riwayat dari mereka. Malangnya, generasi Islam seterusnya mengambil kisah sejarah dari karya beliau tanpa mengkaji kebenaran kisah yang diriwayatkan. Hal ini telah membawa kepada satu salah faham atau pembohongan dalam kisah sejarah silam Islam terutamanya berkisarkan para sahabat Nabi saw.
Kajian yang teliti telah dijalankan terhadap peribadi perawi-perawi yang banyak menyumbangkan riwayat di dalam Tarikh At-Tabari. Keputusannya, terdapat tiga orang perawi yang banyak riwayat mereka termaktub di dalam karya Imam At-Tabari, sedangkan mereka merupakan insan yang berfahaman Syi'ah (golongan yang sering memburukkan para sahabat Nabi saw). Mereka adalah Abu Mikhnaf, Hisyam ibn Muhammad dan Al-Waqidi. Kebanyakan riwayat mereka telah dikaji balik dan dibandingkan dengan riwayat daripada Imam yang boleh dipercayai seperti Ibn Kathir dan Ibnu Hajar al-Asqalani. Ternyata banyak penyelewengan fakta sejarah telah dilakukan oleh tiga orang perawi tersebut. Salah seorang perawi karya At-Tabari yang dianggap boleh dipercayai riwayatnya ialah Safy ibn Umar.
Justeru, tidak hairanlah mengapa kita berasa pelik apabila mendengar sejarah tentang kelemahan dan keburukan para sahabat Nabi saw. Antara contoh yang sering didengari ialah persengketaan di Balai Bani Saidah untuk melantik khalifah setelah kewafatan Rasulullah saw (persengketaan yang digambarkan secara keterlaluan sehingga kaum Ansar dikatakan menghalau kaum Muhajirin dari Madinah).
Seterusnya, keburukan peribadi Mu'awiyah yang sering dicanangkan. Ketahuilah bahawa Rasulullah saw pernah menyatakan bahawa tentera Islam yang pertama berperang di laut dijamin syurga. Sejarah (dari sumber yang dipercayai) mencatatkan bahawa ketua perang yang disebutkan oleh Rasulullah saw itu ialah Mu'awiyah ibn Abi Sufian. Tak layak bagi seorang yang berperibadi buruk untuk mendiami syurga. Ternyata penyelewengan fakta sejarah cuba disematkan di sini dengan mengatakan Mu'awiyah seorang yang berperibadi rendah.
Banyak lagi penyelewengan fakta yang dilakukan seperti dalam Peristiwa Tahkim, Perang Jamal dan Perang Siffin, keperibadian Uthman Affan dan banyak lagi. Oleh itu, adalah amat disyorkan jika tuan-tuan sudi meluangkan masa untuk menatap karya yang membela kisah para sahabat Nabi saw, agar pemikiran kita bebas dari pembohongan sejarah oleh insan-insan terkutuk.
# kalau nak pinjam, boleh tanya Batch Leader (Muzani).
The bird's tale...
1 year ago
0 Comments:
Post a Comment