Apa kaitan antara paku dan marah? Mungkin ada antara kita, bila baca sahaja tajuk entri di atas sudah dapat membayangkan kisah yang bakal diceritakan. Untuk ke sekian kalinya, mari kita hayati dan kongsikan kisah ini bersama-sama. Mungkin ada yang sudah lupa atau ada yang belum pernah mendengarnya. Versinya mungkin berbeza daripada apa yang anda pernah baca. Tapi, intipatinya tetap sama.
Cerita ini berkisar tentang seorang ayah yang sudah tua dengan anak perempuannya. Pada suatu hari, si ayah memanggil si anak untuk berpesan satu perkara.
“Anakku, ambil dan simpanlah paku-paku ini bersamamu.” Pesan si ayah sambil menghulurkan satu bekas kecil berisi paku kepada si anak.
Dengan wajah yang agak keliru, si anak mengambil paku-paku itu dan bertanya, “Apa yang perlu saya buat dengan paku-paku ini ayah?”
Sambil tersenyum si ayah menjawab, “Setiap kali engkau berasa marah atau kecil hati dengan seseorang, pukullah satu paku ke dinding kamarmu. Lakukanlah perkara yang sama setiap kali engkau berasa marah.”
Si ayah berpesan lagi, “Dan setiap kali engkau telah memaafkan orang yang dimarahi itu, keluarkan satu paku dari dinding kamarmu itu. Lakukanlah perkara yang sama setiap kali engkau telah memaafkan seseorang.”
Setelah memahami pesan si ayah, tanpa banyak soal, si anak pun berlalu sambil membawa paku-paku tersebut. Dan semenjak hari itu, setiap kali dia berasa marah terhadap seseorang, dia akan memukul satu paku ke dinding. Dari hari ke hari, semakin penuhlah dinding kamarnya dengan paku-paku tersebut, akibat rasa marah terhadap orang-orang di sekelilingnya. Begitulah juga apabila dia telah memaafkan seseorang, akan dicabut dan dikeluarkan satu paku dari dinding itu. Akibatnya, dinding kamarnya kelihatan hodoh dengan kesan-kesan lubang yang ditinggalkan oleh paku. Walaupun banyak paku telah dikeluarkan, kesannya (lubang) tetap ada.
Tiba-tiba si anak terfikir apakah tujuan si ayah menyuruhnya berbuat begitu. Lalu untuk menghapuskan kemusykilan yang bertandang, dia segera menemui ayahnya.
“Ayah, apakah tujuan sebenar ayah menyuruh saya memaku dinding dan mengeluarkannya kembali?” tanya si anak ingin tahu.
Tanpa berkata apa-apa, si ayah memimpin tangan si anak dan membawanya ke dinding yang penuh dengan kesan lubang itu.
Kata si ayah, “Lihat dinding ni. Penuh dengan lubang. Walaupun paku telah dikeluarkan, kita tidak mungkin akan dapat mengembalikan dinding ini ke keadaannya yang asal tanpa paku dan lubang. Begitulah juga apabila manusia marah. Masih akan tersisa kesan lukanya walaupun perkataan maaf telah diucap. Jadi adalah lebih baik engkau mengelakkan diri daripada perasaan marah ini, kerana lukanya sukar untuk sembuh,” jelas si ayah panjang lebar.
Apa yang kita boleh dapat daripada kisah di atas? Adakah kita tidak boleh marah langsung? Sudah tentu kita boleh marah, tapi hanya pada tempat dan masa yang betul. Perasaan marah yang tidak bertempat seboleh mungkin perlu dielakkan. Ramai yang sedar dan tahu, marah ini besar sekali bahananya. Boleh melukakan hati banyak pihak dan tidak baik untuk ‘kesihatan’ hati kita. Sesetengah orang akan melakukan apa sahaja akibat perasaan marah. Tapi, ramai juga yang tidak dapat mengawal diri apabila marah kerana akal tidak dapat berfungsi dengan baik apabila rasa hati lebih diutamakan.
Kesimpulannya, elakkanlah diri daripada perasaan marah, kerana kesannya dalam dan panjang walaupun perkataan maaf telah terucap, seperti kesan lubang yang ditinggalkan oleh paku pada dinding. Dan, jika anda harus marah, kendalikan perasaan marah anda sebaik mungkin. Belajarlah cara marah Rasulullah S.A.W. kerana baginda juga marah pada perkara yang patut untuk dimarahi. Sesungguhnya akhlak baginda adalah sebaik-baik akhlak untuk diteladani. Wallahua’lam.
1 Comments:
Satu kisah yang menarik untuk mengelakkan kita daripada sifat marah. Dan hakikat bahawa manusia itu jauh sekali daripada sifat pengampun Allah s.w.t. Meskipun, hamba-hambaNya sering membuat perkara-perkara yang dimurkaiNya. namun pengampunan Allah itu menggunung tinggi. Jika dosa hambanya sepenuh isi dunia ini, maka pengampunan Allah itu sepenuh isi dunia juga. Maha suci Allah yang Maha Pengampun.
Dan sesungguhnya dinding-dinding tadi yang berlubang, hanya dengan sifat pengampunlah tampalan yang paling mujarab. Ingatlah, akhirnya kita semua akan menghadapNya. Siapalah kita untuk menghukum manusia yang benar-benar ikhlas meminta maaf dan berusaha menjaga hablumminannas.
Post a Comment