Monday, July 13

Pesanan

Fortified Fraternity


ALHAMDULILLAH...hanya syukur dan rasa kerdil diri selayaknya kita panjatkan kepada Allah dengan melangkahnya kaki ke tahun akhir. Rakan-rakan sekalian, inilah PELUANG. Hidup ini penuh dengan peluang. Peluang untuk merasai nikmat, peluang untuk bersyukur, peluang untuk menginsafi kesilapan lalu dan bertaubat dan peluang untuk kembali ke jalan yang benar.


Sangat baru rasanya tempoh tiga tahun yang lalu ketika kita mula-mula datang ke Kuantan. Itulah masa yang telah meninggalkan kita. Kelas demi kelas, peperiksaan demi peperiksaan. Usia bertambah bersama-sama dengan kesibukan kita sebagai pelajar. 2006 kita datang ke sini dengan iringan harapan yang tersangat tinggi daripada keluarga. Iringan itu tak terhenti di situ bahkan terus-menerus sehingga ke saat ini. Bagi yang mengingatinya dan menjadikannya sumber inspirasi, teruskanlah. Sebagai anak, itu antara ingatan yang baik untuk muhasabah diri setakat mana kita sudah berusaha di sini. Kadang-kadang, diri terleka dan perlu diingatkan.


Rakan-rakan,


Belajarlah sepenuh hati. Jagalah akhlak sesama kita dan pensyarah. Jadilah sahabat ketika susah dan senang. Jadilah sahabat yang mendidik. Sekurang-kurangnya, empat tahun di sini, kita lebih baik dari semalam yang telah berlalu. Ada juga jasa dan manfaat yang kita dapat dan kita beri. Andai ada salah faham, maafkanlah dan tegurlah dengan baik. Jauhkan diri dari prasangka. Bersikap jujurlah dalam usaha menuntut ilmu. Markah dan gred bukan segalanya. Jangan kita cari redha manusia dengan kemurkaan Allah. Biarlah kita cari redha Allah walaupun terpaksa berhadapan dengan marahnya manusia.


Andai kita pernah tersilap, belajarlah dari kesilapan lalu kerana manusia yang baik akan merenung sejarah hidup dan terus menerus membaiki diri. Kita tidak sempurna, tetapi jangan kita jadikan ketidaksempurnaan itu sebagai beban dan meletakkannya di depan mata seolah olah itulah segalanya. Kerana tidak sempurnalah, adanya konsep saling melengkapi dalam Islam. Setiap manusia ada kelebihan masing-masing. Begitu juga dengan batch kita dan mana-mana batch sekalipun. Setiap orang mesti ada sesuatu yang unik dan bermanfaat untuk dikongsi bersama dengan semua.


Pasti tenang rasa hati apabila melihat kemesraan dan kekitaan sesama kita. Mengambil berat antara satu sama lain mengikut petunjuk agama Allah yang mulia kerana memang manusia fitrahnya inginkan kebaikan. Hatta pencuri sekalipun tidak akan mendidik anaknya menjadi pencuri dan tidak suka barangnya dicuri. Kita lahir dalam fitrah yang suci. Moga-moga kita kembali juga dalam fitrah yang suci.


Rakan-rakan,


Gunalah PELUANG baki 1 tahun yang ada sebaiknya untuk memanfaatkan SEGALA SUMBER yang kita ada untuk belajar, menghargai pensyarah dan rakan-rakan seterusnya mendidik diri menjadi seorang hamba Allah yang sebenar. Hormatilah guru, andai ada kelemahan mahupun kekurangan mereka, bimbinglah seperti seorang anak membimbing ibu dan ayah. Pasti kita inginkan yang terbaik walau sesusah mana pun.


Akhir sekali, kita ialah pelajar Universiti ISLAM Antarabangsa Malaysia. Ingatlah keluarga, pakcik, makcik, jiran, orang kampung, abang, kakak dan adik kita di luar sana. Kalau tidak kita yang membimbing. Siapa lagi yang hendak diharapkan. Jangan pernah lupa mendoakan ibu dan ayah walau siapa kita, di mana kita, saat mana kita berada. “Ya Allah, kau ampunkanlah dosa-dosa ibu bapaku sebagaimana mereka BERSUSAH PAYAH menjagaku di masa kecil”. Moga IIUM Convocation 2010 menjanjikan linangan air mata kegembiraan dan syukur kerana meraikan kejayaan seorang insan bergelar ANAK.


(Sedikit artikel untuk bacaan semua. Moga-moga menjadi motivasi yang berterusan untuk kita melalui tahun akhir. Bacalah dengan hati dan renungan. Walaupun agak panjang, tetapi saya SANGAT SANGAT MENCADANGKANNYA kerana tulisan ini betul-betul membuatkan kita berfikir insya Allah. Artikel-artikel tersebut saya ambil dari web Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, pensyarah Kulliyyah Ekonomi UIA Gombak. Sekarang sedang menyambung pengajian di peringkat PhD. Beliau mengisahkan kehidupan beliau semasa undergraduate dan setelah bekerja daripada aspek belajar dan menyumbang kepada masyarakat).

http://www.zaharuddin.net/content/view/618/

http://www.zaharuddin.net/content/view/815/

http://www.zaharuddin.net/content/view/832/72/

2 Comments:

Mohd Muzani Hasbullah on July 13, 2009 at 11:53 PM said...

Memandangkan selalu je was was bila ditanya bilangan batch kita. Jadi, untuk pengetahuan semua, untuk sem ni:

Bro 28 orang termasuk ikhwan & muziman (tak termasuk habibi dan shahir amin)

Sister 25 orang termasuk Farah Aina.

shifaa on July 14, 2009 at 10:40 PM said...

muzani, send la notes kat shifaa and hawa sekali..sampai hati x send kat ktrg...rase tersisih ... :'(

 

Followers

Fortified Fraternity Copyright © 2009