Sunday, October 25

5 daripada 50

Alhamdulillah kerana rahmat-Nya sentiasa melingkari umat Islam. Selawat serta salam buat Rasulullah saw.

5 daripada 50. Bukan markah ujian yang ingin dibicarakan di sini. Tetapi ianya tentang satu rahmat yang teramat besar, satu keringanan yang amat melegakan. 5 kali sehari semalam berbanding perancangan awal 50 kali sehari semalam. Betapa kasih-Mu Tuhan membantu hamba-Mu dengan kesudian mengurangkan kewajipan solat daripada 50 waktu kepada 5 waktu sahaja. Malam Israk Mikraj menjadi saksi !

Di sini saya ingin fokus kepada solat jemaah.

"... dan rukuklah kamu semua (berjemaah)bersama-sama orang-orang yang rukuk" (Al-Baqarah: 43)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Sesiapa yang ingin berjumpa Allah esok (pada hari qiamat) dalam keadaan beragama Islam, hendaklah dia menjaga solat yang lima waktu di mana sahaja azan dikumandangkan." (HR. Muslim)

Sedikit hukum tentang solat berjemaah bagi kaum lelaki:

1. Imam Syafie mengatakan fardu kifayah
2. Ulama'-ulama' Mazhab Syafie mengatakan sunat muakkad
3. Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan fardu ain
4. Imam Hanafi mengatakan wajib

Saudara-saudara ku, gagahkan diri, ikhlaskan niat. Hanya 5 kali sehari semalam. Ayuh sama-sama berusaha dengan sebenarnya agar kita mampu melengkapkan kitaran solat 5 waktu secara berjemaah di tempat yang dimuliakan (masjid-masjid).

Kebiasaannya, saf-saf di masjid sering didominasi oleh golongan berumur. Saf-saf di masjid hanya 2 atau 3 baris sahaja yang dipenuhi makmum. Ke mana perginya gerombolan manusia yang mengisi saf-saf masjid pada hari jumaat, pada hari raya ?

Solat Subuh dan pembangunan umat... Saya rindukan suatu hari... Itu merupakan bab-bab yang terkandung di dalam karya Dr. Raghib al-Sirjani yang bertajuk 'Keajaiban Solat Subuh'. Suka saya kongsikan kandungannya di sini:

"Solat subuh berjemaah bagi lelaki dan solat pada awal waktu bagi wanita merupakan suatu masalah yang harus diperhatikan dalam kehidupan umat Islam. Hal ini diterapkan dalam rangka membangun umat Islam."

"... Masyarakat ideal yang hakiki adalah mereka yang terdiri daripada orang-orang yang menjaga solat Subuh dengan berjemaah!"

"Solat Subuh merupakan nilai sebuah umat. Umat yang lalai akan Subuh berjemaah, adalah umat yang tidak berhak mendapat kejayaan, akan tetapi berhak untuk diganti dengan yang lain."

"Seorang da'i yang tidak menjaga solat Subuh dalam berjemaah, tetapi dia berbicara dan berceramah dalam sebuah majlis tentang tegaknya agama Allah di muka bumi. Sungguh memalukan !"

"Saya merindui suatu hari, di mana masjid dipenuhi kaum muslimin. Mereka berusaha pergi ke rumah Allah dengan penuh suka cita, menunggu azan Subuh dengan penuh kerinduan. Dari belakang muazzin, mereka menjawab lantunan azan yang berkumandang, penuh penghayatan. Mereka itu berada dalam pertemuan dengan Allah."

# Itulah sedikit sebanyak yang ingin dikongsi. Moga menjadi sumber kekuatan bagi diri ku yang sentiasa lalai, bagi sahabat-sahabat ku dan sesiapa sahaja. Berusaha selagi hayat dikandung badan !

0 Comments:

 

Followers

Fortified Fraternity Copyright © 2009